oleh: Siti Aisyah Mohd
Bakhori
Budaya
makan di luar semakin ketara apabila tibanya bulan Ramadhan. Iklan bufet
berbuka puasa atau dahulunya dikenali sebagai bufet ramadhan banyak ditawarkan
oleh premis-premis makanan terutamanya
hotel-hotel dan restoran. Tawaran-tawaran yang mengujakan ini amat mudah
diakses melalui internet terutamanya melalui perkhidmatan KUPON ELEKTRONIK (online
coupon). Hal ini menyebabkan berlaku lambakan tawaran bufet berbuka puasa oleh
premis-premis makanan yang berlumba-lumba mengaut KEUNTUNGAN pada bulan
Ramadhan ini. Dengan tawaran makanan
yang pelbagai dan harga yang berpatutan, sedikit sebanyak akan mendorong
keinginan masyarakat Islam di kawasan bandar terutamanya untuk merasai dan
mengalami sendiri bufet berbuka puasa tersebut. Tawaran berkenaan nampak
ekslusif apabila bufet berbuka puasa
ditawarkan oleh hotel bertaraf lima bintang dan restoran-restoran yang terkenal.
Maka, ramai yang tertarik dan ingin menikmati keenakan makanan yang dihidangkan
sebagai juadah istimewa semasa berbuka puasa.
Namun,
adakah anda sedar bahawa premis-premis makanan tersebut telah mendapat
pengiktirafan sijil halal daripada pihak Jabatan
Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atau tidak? Atau sebenarnya anda tidak
kisah menjamu selera di premis-premis yang diragui kehalalannya?
Masalah
ini telah menjadi polemik pada tahun 2010 apabila pihak JAKIM telah
mengenalpasti ada hotel-hotel yang tidak berstatus halal telah menyediakan buffet
ramadhan. Impaknya disini ialah wujud kekeliruan masyarakat terhadap makanan
yang disediakan adakah ianya halal atau tidak.
Berdasarkan
laporan Berita Harian bertarikh 20 Ogos 2010, pihak JAKIM telah melakukan
pemantauan terhadap 34 buah hotel yang menawarkan ‘Bufet Ramadhan’ pada 10 hari
pertama bulan Ramadhan 1431 Hijriah di beberapa buah negeri. Hotel-hotel yang
terlibat adalah bertaraf 5, 4 dan 3 bintang. Hasil pemeriksaan mendapati 34
buah hotel berkenaan telah menggunakan istilah Bufet Ramadhan manakala 24 buah
hotel telah menggunakan bahan-bahan yang diragui halal.
Pada
tahun-tahun sebelum ini, isu penggunaan istilah bufet Ramadhan telah
menimbulkan kontroversi apabila diguna pakai oleh premis yang tidak diiktiraf
halal oleh pihak JAKIM yang mana istilah berkenaan telah melanggar Perintah
Perihal Dagangan (Penggunaan Perbahasaan ‘Halal’) 1975.
Mengikut
Seksyen 28 Akta Perihal Dagangan (APD) 2011, adalah menjadi
satu kesalahan kepada premis-premis yang tidak berstatus halal menggunakan
istilah ‘Bufet Ramadhan’. Ini kerana ungkapan berkenaan boleh memperdaya atau
menggelirukan orang awam bahawa makanan atau perkhidmatan yang ditawarkan
adalah halal atau boleh dimakan oleh orang Islam. Sebaliknya, istilah bufet Ramadhan
dibenarkan untuk digunakan oleh premis makanan yang telah mendapat
pengiktirafan halal daripada JAKIM.
Namun
kini istilah bufet ramadahan telah digantikan dengan istilah bufet berbuka
puasa yang nampak seperti tidak menyalahi APD 2011. Tetapi masalah yang sama
harus dinilai semula iaitu adakah makanan yang dihidangkan itu halal, tidak
halal atau shubhah (mengandungi bahan-bahan yang diragui halal). Jika dibuat penilaian yang teliti, premis-premis makanan
terbabit masih belum mendapat sijil pengiktirafan halal JAKIM.
Contoh iklan yang menawarkan bufet berbuka puasa. Perhatikan pada iklan ada tertera PORK-FREE. Ini mencetuskan keraguan terhadap makanan yang dihidangkan. |
Dalam konteks perbincangan ini, makanan
yang tidak halal bukan bererti hanya memakan daging khinzir atau makanan larangan
lain seperti yang dinyatakan di dalam Al-quran tetapi cara penyediaan makanan, peralatan memasak dan
aspek kebersihan (toyyib) haruslah diambil kira. Contoh yang mudah adalah seperti masakan yang
ditambah ‘wine’ (biasanya wine vinegar atau cuka arak) sebagai
penambah perisa (dalam penyediaan steak, masakan cina dan masakan Jepun) adalah
haram kerana wine/arak adalah najis. Walaupun dikatakan wine akan meruap semasa
memasak, namun secara saintifiknya residu-residu wine masih lagi tertinggal di
dalam makanan. Contoh-contoh lain adalah seperti penggunaan pinggan mangkuk
yang diperbuat daripada ‘fine bone China’ (e-fatwa.gov.my), penggunaan berus
pastri yang dikhutiri berusnya daripada bulu babi atau simpanan bahan mentah di
dalam peti sejuk beku yang bercampur dengan bahan mentah yang tidak halal.
Sebagai umat Islam, faktor pemakanan yang
halal dan toyyib harus dititik beratkan kerana daripada makanan akan terbentuk
sahsiah dan perilaku diri seorang Muslim. Kecanggihan teknologi maklumat
memudahkan kita untuk memilih premis-premis yang menawarkan makanan yang halal.
Lantaran itu, tiada alasan untuk kita tidak mengendahkannya semata-mata
mengikut nafsu lapar hingga mengenepikan hal yang lebih fardhu iaitu memakan makanan
halal.
Sewajarnya pertimbangan yang amat
teliti perlu diambil kira sebelum menikmati hidangan bufet berbuka puasa supaya
Ramadhan yang mulia tidak dicemari dengan memakan makanan yang tidak ‘bersih’ dan
puasa yang dijalani menjadi sia-sia. Ini kerana penipuan secara tersembunyi
dikhuatiri akan menyebabkan defisit kepada iman dan takwa umat Islam pada hari
ini.
No comments:
Post a Comment