Sunday 14 July 2013

Kisah Sang Kurma (part II)



Oleh Abdul Afiq Mohd Jaih

Bahagian ini adalah sambungan daripada bahagian 1. Anda boleh bacanya disini Kisah sang kurma (part I)

Peringkat kematangan kurma
Secara umumnya, buah kurma mempunyai beberapa peringkat kematangan iaitu Hababouk, Kimri, Khalal, Rutab dan Tamr. Saiz, warna, bentuk, kandungan air dan gula, dan tahap kekeringan buah kurma pada setiap peringkat kematangan adalah berbeza yang seterusnya menjurus kepada kelainan rasa buah tersebut. Kebiasaannya, buah kurma yang diimport ke Malaysia adalah buah kurma kering (peringkat Tamr) kerana ia lebih mudah untuk dikendali dan mempunyai jangka hayat yang lebih panjang.
peringkat 1
peringkat 2
peringkat 3
peringkat 4 
peringkat 5






Kurma sebagai power bank
Kurma adalah makanan yang paling digemari oleh Nabi Muhammad S.A.W. untuk berbuka puasa. Ia juga menjadi pilihan ideal kepada sesiapa sahaja untuk berbuka puasa kerana kandungan nutrisi yang terdapat dalam buah kurma tersebut yang mempunyai kandungan gula ringkas yang tinggi yang mampu memberi tenaga segera kepada pemakannya. Tenaga segera ini diperlukan bagi mereka yang berpuasa setelah tidak mengambil sebarang makanan atau minuman lebih daripada 12 jam. Selain itu, kurma juga mengandungi gula kompleks yang mampu memberi tenaga kepada pemakannya untuk tempoh masa yang lebih lama. Gula atau karbohidrat ini merupakan kandungan utama dalam buah kurma dengan jumlah antara 66-89% dalam kurma kering, dan 48-59% dalam kurma segar (atau dikenali sebagai kurma basah).

Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Hibban dan Baihaqi:
 “daripada Abu Hurairah, Rasulullah S.A.W. bersabda; makanan terbaik untuk sahur bagi orang beriman adalah kurma”.

Kajian menunjukkan bahawa kandungan fruktosa dan glukosa dalam kurma (antara 33-38g/100g) adalah lebih tinggi daripada kandungan gula dalam pisang , anggur dan tomato (Ismail et al., 2008; Lycaon et al., 2011; Beckles, 2012). Selain itu, kajian juga mendapati jumlah tenaga yang boleh dibekalkan oleh buah kurma adalah melebihi 3000 cal/kg, dimana ia adalah lebih tinggi daripada buah-buahan lain seperti aprikot (520 cal/kg), pisang (970 cal/kg), dan oren (480 cal/kg) dan makanan lain seperti nasi (1800 cal/kg), roti gandum (2295 cal/kg), dan daging tanpa lemak (2245 cal/kg) (Zaid dan de Wat, 2002).

Sebagai gula ringkas, kandungan gula utama iaitu fruktosa dan glukosa dalam buah kurma tidak boleh lagi dipecahkan kepada gula yang lebih ringkas (Izydorczyk, 2005). Sebagai monosakarida, fruktosa dan glukosa ini dengan mudah boleh digunakan dan dihadam oleh sistem penghadaman manusia untuk penghasilan tenaga. Selain itu, sukrosa yang terdiri daripada glukosa dan fruktosa adalah dikategorikan sebagai disakarida. Gula ini perlu dipecahkan terlebih dahulu kepada gula ringkas (glukosa dan fruktosa) sebelum digunakan dalam penghasilan tenaga oleh badan. Proses penghasilan tenaga daripada sukrosa yang mangambil masa agak lama akan memberi kelebihan kepada mereka yang memakan buah kurma kerana mereka akan berasa kenyang dan bertenaga untuk tempoh yang lebih lama.


Penemuan hasil kajian juga mendapati bahawa kurma mempunyai kandungan antioksida yang agak tinggi iaitu 1871 µmol/100g berbanding 340 µmol/100g antioksida dalam aprikot, namun lebih rendah daripada buah tin (3383 µmol/100g). Antioksida adalah penting untuk mencegah penyakit seperti kanser dan arterosklerosis, selain melambatkan proses penuaan sel-sel kulit pada badan.  


Akhir kalam, diharap sedikit penerangan di atas dapat memberi gambaran kepada pembaca mengenai kelebihan dan kebaikan buah kurma bukan sahaja dibulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini, malah sesuai juga diamalkan dalam jadual pemakanan harian pada bulan-bulan lain. Kelebihan dan keistimewaan buah kurma terutama kepada orang Islam tidak dapat disangkal lagi memandangkan ia telah disebut dalam Al-Qur’an lebih daripada 20 kali dan termasuklah dalam hadis-hadis Nabi Muhammad S.A.W. Walau begitu, adalah dinasihatkan juga agar pembaca mengambil makanan pada kadar yang perlu sahaja dan memperbanyakkan sumber makanan, dan tidak terhad kepada sejenis makanan sahaja kerana makanan yang berbeza mengandungi kandungan dan nutrisi yang berbeza, yang pastinya amat diperlukan oleh tubuh kita untuk kekal sihat. 




Sekian, terima kasih.

No comments:

Post a Comment