Sunday, 14 July 2013

Kisah Sang Kurma (part I)



Oleh Abdul Afiq Mohd Jaih

Daripada Anas: Rasulullah berbuka puasa dengan beberapa biji kurma sebelum menunaikan solat. Jika tidak ada kurma, baginda akan berbuka puasa dengan beberapa biji anggur. Jika tidak ada anggur, baginda akan berbuka dengan air. (Riwayat Ahmad)

Salam Ramadhan al-Mubarak.

Lazimnya di Malaysia, buah kurma akan kembali mendapat perhatian apabila tibanya bulan Ramadhan. Ini kerana terdapat beberapa hadis dan sunnah Rasulullah S.A.W. yang mengaitkan buah kurma dan bulan Ramadhan. Namun begitu, buah kurma ini bukanlah terhad penggunaan dan pemakanannya pada bulan Ramadhan sahaja, namun ia juga sesuai untuk diamalkan dalam diet seharian berdasarkan kepada beberapa hadis dan kebaikan buah ini kepada kesihatan. Artikel yang mungkin panjang ini telah cuba saya ringkaskan seringkas mungkin tanpa mengurangkan maklumat-maklumat penting untuk dikongsi bersama. Selamat membaca. 


Jenis-jenis kurma
Tahukah anda bahawa terdapat lebih daripada 3000 jenis buah kurma diseluruh dunia. Namun, buah kurma yang boleh dimakan bergantung kepada spesies/pengkelasan tumbuhan tersebut. Dalam keluarga Palmae, terdapat banyak jenis pokok kurma, tetapi yang boleh dan selamat untuk dimakan hanya kurma yang berasal dari spesies Phoenix dactylifera L. sahaja.



Kurma-kurma ini berbeza jenisnya berdasarkan kepada perbezaan ciri-ciri yang terdapat pada buah kurma tersebut, antaranya tahap kelembutan dan kekerasan isi buah kurma, tahap kemanisan buah kurma, warna buah, saiz buah dan tempat asal buah kurma tersebut. 





Antara jenis-jenis kurma yang telah direkodkan adalah Khalas, Barhe, Lulu, Shikat alkahlas, Sokkery, Bomaan, Sagay, Shishi, Maghool, Sultana, Fard, Maktoomi, Naptit saif, Jabri, Khodary, Dabbas, Raziz, Shabebe, Shahla, Gash gaafar, Gash habash, Bushibal, Mabseeli, Um-sellah, Shahal , Suqaey, Sukkary, Safawy, Sofry, Anabarah, Rabeaah, Shalaby, Mabroom, Barny, Rotanah alshara, Robanah masery, Shorcy, Bamy, Tamirraq, Bou skri, Bou-feggous ou moussa, Bou-sthammi blanche, Bou-zeggar, Haoua, Race-lahmar, Bou-sthammi noire, Mest-ali, Jihel, Oum-N’hale, Ahardane, Bou-cerdoun, Bou-ittob, Outoukdim, Mah-lbaid, Tadment, Admou, Bel-hazit, Mekt, Sair layalet, Azegzao, Iklane, Bou-feggous, Bou-temda, Aguelid, Bou-slikhene and Aissa-youb.

Daripada banyak jenis kurma ini, sejenis kurma yang menjadi kegemaran Nabi Muhammad S.A.W. adalah kurma Ajwa. Di Malaysia, kurma ini dijual pada harga mencecah RM180 per kg. Keistimewaan kurma ini diceritakan lagi dalam beberapa hadis, antaranya;

Dalam Sahih Muslim, A’isha berkata Nabi S.A.W. bersabda, “kurma Ajwa dari ‘Aliya mengandungi kesan pemanasan dan ini adalah penawar di waktu pagi”. Selain itu, dalam Sahih Bukhari, Nabi Muhammad S.A.W. turut bersabda, “orang yang memakan tujuh biji kurma Ajwa  setiap pagi, dia tidak akan terkesan oleh racun dan sihir pada hari dia memakannya”.

Demikian mukadimah tentang kurma-kurma yang ada diserata dunia. Dalam bahagian kedua, saya akan menceritakan mengenai peringkat kematangan kurma, dan kebaikan kurma sebagai 'powerbank'..... Anda mahu tahu lebih lanjut?? tunggu ye!!!


Stay tuned!




No comments:

Post a Comment